Gambar : JBPM Pahang

KUANTAN – Seorang wanita warga emas maut apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam sungai di Jambatan Balok Makmur, Seberang Balok, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memberitahu, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa dan penumpang hadapan kenderaan terbabit iaitu suaminya dalam perjalanan dari arah Balok Makmur ke Seberang Balok.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM berwarna biru itu hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, akibat kemalangan tersebut, Paridah Dollah, 67 yang merupakan seorang pesara yang beralamat di Jerantut, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Suami mangsa, Abd Aziz Ahmad, 66, dibawa oleh ambulan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk diberi rawatan lanjut berikutan sesak nafas.

Wan Mohd Zahari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kedua-dua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba ke lokasi tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here