KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan tong disyaki mengandungi bahan cecair kimia ditemui dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, dekat sini, pada Selasa lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan aduan mengenai insiden tersebut pada Selasa lalu.
Katanya, bertindak atas panggilan itu sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bersama sebuah jentera serta sebuah Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Shah Alam dikerah ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Sejurus tiba di lokasi jam 9.12 malam, Komander Operasi PBK I, KUP Narmizi Hamzah menerusi pemeriksaan lanjut bersama anggotanya di lapangan melaporkan bahawa terdapat lapan tong sisa buangan jenis cecair berada di dalam parit berkedalaman satu kaki iaitu kira-kira 0.3 meter dipercayai bahan kimia.
“Anggota Hazmat membuat kerja-kerja mengambil sampel untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar.
“Pihak Jabatan Alam Sekitar yang turut berada di lokasi dan telah mengumpul sampel. Tindakan akan dibuat setelah mendapat keputusan dari sampel tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bertindak atas insiden itu, seramai dua anggota polis, tiga anggota JAS, dua anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam, enam wakil dari Pejabat Tanah dan dua wakil SPAN turun ke lokasi untuk tindakan.
“Pasukan dari agensi lain turut turun berganding bahu dan sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette