AMPANG – Gara-gara kecewa cintanya hanya mampu bertahan selama tiga bulan, seorang lelaki bertindak memecahkan pintu kaca rumah bapa kekasih sambal menjerit-jerit mahu membelasah teman wanita itu dalam kejadian pada 18 September lalu.
Bagaimanapun, tindakan pemuda berkenaan membawa padah apabila dia diberkas polis di Taman Melawati.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, semasa kejadian lebih kurang 1.30 tengah hari, wanita berkenaan berada di bilik rumahnya di Taman Melawati terdengar satu balingan batu ke arah tingkap biliknya.
“Pengadu kemudian turun ke tangga untuk membuat pemeriksaan di dalam rumah sebelum melihat bekas teman lelakinya berada di dalam kawasan rumah pengadu.
“Suspek kemudian mengunakan besi dumbel memecahkan pintu kaca di belakang rumah di kawasan ruang tamu sambil menjerit nama kekasih.
“Pengadu yang takut pantas melarikan diri masuk ke dalam bilik dan menyembunyikan diri di dalam tandas bilik sambil menghubungi panggilan kecemasan 911 untuk meminta bantuan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama suspek telah menendang dan menggunakan besi dumbel untuk memecahkan pintu bilik pengadu, namun tidak berjaya.
Suspek kemudian menyelinap masuk melalui balkoni serta memecahkan tingkap bilik pengadu sambil memberi ugutan “kau keluar sekarang aku nak hentam kau, jika tidak aku akan cuba masuk bilik kau” sebelum beredar dari tempat itu.
Katanya, siasatan lanjut polis mendapati anggaran kerosakan yang dialami akibat dari kejadian itu lebih kurang RM20,000.
“Motif kejadian disebabkan pengadu (wanita) tidak mahu lagi meneruskan hubungan percintaan dengan suspek selepas tiga bulan mengenalinya.
“Bertindak atas aduan dan maklumat pada 25 September lalu jam lebih kurang 5.50 petang sepasukan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D7 IPD Ampang Jaya menangkap seorang lelaki tempatan di Petaling Jaya.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau jenayah dan satu rekod masih dikehendaki,” katanya.
Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Ampang pagi tadi dan telah dibenarkan direman selama empat hari bermula 26 hingga 29 September ini
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuat ugutan jenayah, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 5 tahun, atau dengan denda.
Manakala kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara yang boleh sampai tiga tahun , atau dengan denda sehingga lima ribu ringgit atau kedua-duanya.
Bagi ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, boleh dihukum dengan penjara maksimum tujuh tahun, atau dengan denda,” ujar beliau lagi.-MalaysiaGazette