KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) diarah untuk menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaan dan penyebaran maklumat, nasihat dan amaran berkaitan cuaca.
Menteri Sumbar Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penambahbaikan itu bagi membolehkan penyebaran maklumat dapat dikeluarkan dengan lebih kerap apabila cuaca dijangka akan menjadi melampau.
“Pihak MET Malaysia juga telah diarahkan untuk menambah baik aspek komunikasi dalam penyebaran maklumat dan amaran cuaca yang lebih efektif.
“Ini bagi memastikan orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa dan sekaligus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengambil maklum laporan media yang menyatakan MET Malaysia tidak mengeluarkan amaran cuaca disebabkan ramalan yang telah dikeluarkan lima hari terdahulu adalah masih lagi efektif.
Sementara itu, menurut Nik Nazmi, fasa peralihan monsun telah bermula minggu ini dan akan berterusan sehingga awal November depan.
Permulaan fasa inin menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lalu.
Tambah beliau, semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
Situasi itu boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam.
Kawasan yang dilanda kebanyakan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia.
Maklumat boleh diekses melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – MalaysiaGazette