Abdul Rahman Ahmad

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengalu-alukan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (NSRF) yang baru dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti tentang cara perniagaan mengurus risiko dan peluang kemampanan, meningkatkan daya tahan perniagaan dan menyumbang kepada agenda kemampanan negara yang lebih meluas.

NSRF, dibangunkan sejajar dengan Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB), khususnya IFRS S1 Keperluan Am untuk Pendedahan Maklumat Kewangan berkaitan Kemampanan dan IFRS S2 Pendedahan Berkaitan Iklim, menetapkan garis dasar yang kukuh untuk pelaporan kemampanan.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata, PNB mengiktiraf kepentingan rangka kerja ini dalam memupuk ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaporan kemampanan.

“Kami percaya bahawa NSRF akan memainkan peranan penting dalam memacu daya saing sektor korporat Malaysia pada peringkat global ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

“PNB akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat pelaburan kami serta syarikat tersenarai yang PNB mempunyai kepentingan di dalamnya bagi memastikan mereka memenuhi keperluan pendedahan yang ditetapkandi bawah NSRF tepat pada masanya,” tambah beliau.

NSRF yang dilancarkan baru-baru ini menggariskan pendekatan Malaysia untuk pelaporan kemampanan, menggunakan piawaian pendedahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (Standard ISSB) serta rangka kerja untuk jaminan kemampanan.

Syarikat senaraian di Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia serta firma besar tidak tersenarai yang menjana pendapatan tahunan RM2 bilion atau lebih, perlu mematuhi standard pelaporan baharu di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF).

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi, berkata dianggarkan sebanyak 130 syarikat atau penerbit besar tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia perlu mematuhi Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) S1 (Keperluan Am untuk Pendedahan Maklumat Kewangan berkaitan Kemampanan) dan S2 mulai 2025 dengan tumpuan kepada pendedahan iklim.

Beliau berkata, syarikat berkenaan mempunyai impak besar terhadap pasaran modal dan mewakili lebih 80 peratus daripada permodalan pasaran di Bursa Malaysia dengan pelaporan pertama dijadual pada 2026. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here