Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Seorang penunggang motosikal ditemui maut setelah terbabas ketika mengelak lopak air dalam kejadian di Persiaran Sultan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menerima laporan mengenai insiden nahas itu sekitar pukul 3.11 petang semalam.

“Pemeriksaan di lokasi nahas mendapati, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda ADV sedang dalam perjalanan dari arah Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) ke pusat bandar Shah Alam.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai cuba mengelak lopak air di lorong paling kiri jalan terbabit sebelum dipercayai hilang kawalan lalu motosikal terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, ekoran insiden itu, mangsa telah terjatuh di lorong paling kanan.

Katanya, mangsa telah mengalami kecederaan parah akibat insiden itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian tersebut.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

Polis sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, polis meminta saksi atau orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian nahas itu agar diminta tampil segera membantu siasatan polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-322 9097.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here