Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR- Semua premis yang dimiliki dan berada bawah kendalian Gerakan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Sabah dan Sarawak akan digeledah dan disita menggunakan undang-undang sedia ada oleh pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan sesi mesyuarat bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan terhadap GISBH bagi meneliti situasi semasa pengoperasian premis yang mempunyai kaitan dengan organisasi tersebut di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, PDRM akan membantu semua agensi yang terlibat dalam melaksanakan tindakan tersebut.

Katanya, mesyuarat ini melibatkan wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Hasil mesyuarat tersebut mendapati premis-premis yang berkaitan dengan GISBH di Sabah dan Sarawak telah ditutup dan tidak beroperasi.

“Justeru, dicadangkan agar agensi-agensi yang terbabit mengambil tindakan untuk menggeledah dan menyita premis terlibat (yang ditutup, tidak beroperasi) di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 3/1995 dan Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 bagi premis di Sabah.

“Manakala di Sarawak tindakan yang sama akan dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 dan pihak polis akan membantu sepenuhnya dalam menjalankan tindakan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette pada hari ini.

Tambah Razarudin, walaupun premis-premis ini telah dikesan tidak beroperasi lagi dan ditutup, PDRM akan terus memantau bagi memastikan individu yang terlibat dapat dikenalpasti dan dibawa ke muka pengadilan.

Beliau mengesahkan seorang tangkapan berkait GISBH telah dituduh di Mahkamah Sesyen Klang pada Khamis 26 September 2024.

Ujar beliau, tuduhan melibatkan tiga kertas siasatan dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 meliputi kertas siasatan kes video viral berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak.

“Selain itu, pada hari ini juga, PDRM telah memperolehi lanjutan reman selama lima hari bermula 27 september hingga 1 Oktober depan terhadap seramai tujuh orang tangkapan bersabit Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,”jelasnya lagi.

Berhubung dakwaan, pekerja GISBH tidak dibayar gaji, Razarudin mengaskan bahawa PDRM telah menerima 10 laporan polis berkaitan isu itu dan siasatan akan dijalankan untuk meneliti pendakwaan yang boleh dilaksanakan berlunaskan undang-undang yang sedia digunapakai.

Pada masa yang sama, polis menyeru kepada mana-mana ahli atau pengikut GISBH untuk tampil segera membuat laporan di mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu PDRM menjalankan siasatan secara komprehensif terhadap organisasi ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here