Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bergambar kenangan bersama masyarakat Orang Asli ketika hadir pada Majlis Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Jentera Barisan Nasional (BN) serta parti di bawah Kerajaan Perpaduan sudah menggerakkan beberapa usaha untuk memujuk dan memastikan pengundi luar pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sabtu ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha mendekati pengundi luar itu juga digerakkan lebih awal iaitu sebelum hari penamaan calon PRK berkenaan.

Selain itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kempen kesedaran melalui media sosial selain komunikasi dengan pengundi luar turut dijalankan berdasarkan data yang dimiliki jentera kempen BN dan Kerajaan Perpaduan.

“Kita yakin pengundi luar walaupun mungkin tidak 100 peratus balik, tetapi sebahagian besar mereka mempunyai kesedaran atas tanggungjawab sebagai pengundi dan warga bangsa Johor untuk pulang Sabtu ini, bagi menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, beliau turun padang berjumpa masyrakat Orang Asli dalam Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, seperti dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini, semua kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) juga akan dibuka untuk memudahkan pengundi DUN Mahkota yang bekerja di Singapura pulang mengundi.

Ketika ini, wujud kebimbangan pengundi luar khususnya mereka yang bekerja di Singapura memilih tidak pulang mengundi kerana beranggapan PRK kali ini tidak begitu penting kerana tidak akan merubah kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat.

Selain itu, pengundi luar kaum Cina DUN Mahkota juga dibimbangi turut tidak pulang mengundi memandangkan baru pulang bercuti ke kampung minggu lepas bagi meraian perayaan Pesat Tanglung.

DUN Mahkota yang terletak di dalam Parlimen Kluang memiliki keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar dengan 20 pusat mengundi biasa akan dibuka pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here