Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah bercakap kepada wartawan selepas beramah mesra bersama usahawan-usahawan muda ketika melakukan ‘walkabout’ sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Mahkota di Dewan Muafakat Kampung Tengah, Kluang, hari ini. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Polis mengesahkan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah tidak mempunyai rekod sabitan jenayah di bawah kesalahan boleh daftar dalam konteks Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan yang dijalankan bersabit kes yang didakwa melibatkan Syed Hussein itu telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan diarahkan supaya tiada tindakan lanjut (no further action).

Malah, jelas beliau, tiada mana-mana pihak yang dituduh dalam kes berkenaan termasuk Syed Hussein.

Terdahulu, kata beliau, polis mengesan satu pautan di laman media sosial https://www.facebook.com/share/v/TA9KEvvRDHZ6iqPd/?mibextid=oFDkn berhubung dakwaan melibatkan Syed Hussein tersebut.

“Polis menasihatkan parti politik agar berkempen secara sihat dan tidak mengeksploitasi isu agama, raja dan kaum atau membuat kenyataan palsu terhadap individu lain.

“Orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mudah percaya kenyataan palsu tanpa ditentusahkan kesahihannya terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Tambah Bahrin, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran kepada awam.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin  meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan pernah ditangkap polis berhubung satu kes pukul.

Malah, Badrul Hisham yang juga lebih dikenali sebagai Chegu Bard turut menunjukkan dokumen yang didakwanya laporan polis yang menyatakan Syed Hussien terlibat dengan kes jenayah itu.

Bagaimanapun, Syed Hussien menafikan dakwaan terbabit dan menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chegu Bard. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast