Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Ia susulan permohonan maaf Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besarnya.

Menerusi kenyataan, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya.

“Di kesempatan ini Beta ingin menasihati Datuk Seri agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam Negeri Selangor.

“Beta tidak mahu rakyat khususnya di Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.

“Kelakuan dan tuturkata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri,” titah baginda menerusi sepucuk surat yang disiarkan di Facebook rasmi Selangor Royal Office, hari ini.

Sultan Selangor bertitah, sebagai seorang pemimpin, Muhammad Sanusi harus memikirkan kesan yang akan diperoleh dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan.

“Akhir sekali Beta berharap semoga Datuk Seri akan terus berjaya dan dipermudah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast