Azam Baki

BANGI – Hanya syarikat pembinaan dengan pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001 (ABMS) akan dibenarkan membida kontrak kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, keperluan itu akan dikuatkuasakan pada 2026 bagi syarikat pembinaan Kelas G7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk membida kontrak kerajaan.

“Jawatankuasa Tadbir Urus Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada dasarnya bersetuju bahawa syarikat Kelas G7 yang terlibat dalam projek melebihi RM100 juta mesti memperoleh pensijilan ABMS dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Ini akan mencerminkan komitmen syarikat untuk menghapuskan rasuah apabila membida tender di bawah Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Persidangan Penyelidikan Kebangsaan Mengenai Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Ke-3 di sini, hari ini.

Persidangan itu dirasmikan Ketua Setiuasaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

ABMS bertujuan untuk membantu syarikat mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap isu rasuah.

Ia merangkumi pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkaitan termasuk komitmen sukarela bertujuan untuk menghapuskan rasuah.

Menurut Azam, tempoh penangguhan dua tahun itu adalah untuk membolehkan syarikat terbabit membuat pengaturan bagi pensijilan tersebut.

“Pada masa ini, syarikat-syarikat ini masih boleh membida kontrak kerajaan.

“Tetapi mereka tidak akan dibenarkan membida projek dengan Kementerian Kewangan jika mereka tidak mempunyai ABMS selepas dua tahun…itu syaratnya,” kata beliau.

Azam berkata, keputusan itu adalah bagi memastikan projek kerajaan tidak terjejas dengan rasuah dan ketirisan.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan aluan, Azam berkata, kajian antarabangsa mendapati industri pembinaan global kerugian kira-kira RM5 trilion setahun akibat rasuah dan ketirisan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast