Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar

KLUANG – Seramai 1,399 pegawai dan anggota polis bertugas mengawal selia keselamatan 20 pusat mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota esok.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mereka akan berada di lokasi-lokasi strategik yang sering berlaku kesibukan, kesesakan dan berpotensi menjejaskan keselamatan awam.

“Anggota dan pegawai polis akan memantau situasi serta mencegah sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam sepanjang berlangsung proses mengundi esok.

“Setiap saluran akan ditempatkan seorang anggota manakala dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi, 10 anggota ditugaskan memantau situasi selain anggota polis trafik serta Ops Cantas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis amanat kepada anggota polis yang bertugas dalam PRK DUN Mahkota Dewan Sekolah Menengah (SM) Sains Sembrong, di sini, hari ini.

Pihaknya memberi jaminan jika berlaku banjir kilat dan menyebabkan mana-mana kawasan mengundi terjejas, bantuan segera akan disalurkan oleh pasukan khas yang disediakan.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – MalaysiaGazette