Che'gu Bard mendedahkan dokumen sulit berkenaan rekod jenayah calon BN dalam ceramah kelompok di Taman Sri Kluang, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin tidak gentar jika calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mahu mengambil tidakan undang-undang terhadapnya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Che’gu Bard berkata, ini kerana dakwaannya bahawa Syed Hussien Syed Abdullah memiliki rekod jenayah adalah benar dan bukan palsu.

Beliau menegaskan, pengundi DUN Mahkota berhak tahu dan tindakannya mendedahkan perkara itu bukan serangan peribadi tetapi seorang calon pilihan raya mempunyai rekod jenayah adalah serius.

You are most welcome untuk saman saya. Ini memang permainan mereka yang punya kuasa dan duit untuk menutup mulut.

“Takpelah kita rakyat marhaen ada peguam yang akan datang bantu,” katanya ketika ditemui pemberita di markas Perikatan Nasional (PN) di Kampung Melayu di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/09/26/prk-mahkota-polis-sahkan-calon-bn-tiada-rekod-jenayah/

Che’gu Bard dalam satu ceramah di kempen PN di sini malam semalam, meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan pernah ditangkap polis berhubung satu kes gaduh dan mencederakan.

Syed Hussien menafikan dakwaan itu dan menyatakan akan saman termasuk kerana tindakan Che’Gu Bard mendedahkan nombor kad pengenalannya di hadapan orang ramai semasa berceramah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan berkata, dalam kejadian tersebut Syed Hussien sebenarnya mempertahankan individu orang kurang Upaya (OKU) dan tidak ditahan polis kerana terlibat dalam pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dalam satu kenyataan malam tadi menyangkal dakwaan Syed Hussein mempunyai rekod jenayah.

Mengulas lanjut, Che’gu Bard berkata, beliau sudah mendedahkan semua dokumen sulit berkenaan rekod jenayah dalam ceramah kelompok di Taman Sri Kluang malam tadi.

Beliau tidak takut dan sedia untuk ditahan pihak polis kerana mendedahkan dokumen sulit tersebut.

Sementara itu, ketika berceramah di Taman Sri Kkuang, beliau berkata, berdasarkan kenyataan rasmi polis Kluang, Bahrin memaklumkan siasatan polis terhadap Syed Hussien diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut walaupun kertas siasatan sudah dihantar pejabat pendakwaraya.

“Siasatan yang dijalankan bersabit kes ini menunjukkan pendedahan saya sebelum ini sebenarnya telah dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya, namun pejabat timbalan pendakwaraya kata tiada tindakan lanjut.

“Dia kata kes tersebut memang ada. Kalau tak ada (kes), polis nak rujuk apa kepada pejabat timbalan pendakwaraya? Takkan nak rujuk kertas kosong,” soalnya.

Berkenaan dakwaan Ahmad Zahid, beliau menjawab penafian itu dengan sindiran bahawa OKU yang terlibat bukannya orang kurang upaya, sebaliknya ‘orang kuat UMNO’.- MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here