JIM tahan warga asing kerana bekerja tanpa permit yag sah di sebuah premis di Bandar Raya Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menggempur premis perniagaan dan menahan 32 warga asing yang bekerja tanpa permit sekitar bandar raya ini dan Pontian semalam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan menerusi Ops Bersama itu dilakukan serentak bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan selepas mendapat aduan daripada orang awam terdapat warga asing bekerja tanpa permit yang sah termasuk berniaga tanpa lesen.

“Serbuan sekitar Bandar Raya Johor Bahru dilakukan melibatkan Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

“Dalam operasi bersepadu itu sebanyak 10 premis diperiksa. Seramai 17 lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rusdi berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki Bangladesh, empat lelaki dan seorang wanita Indonesia serta seorang lelaki Myanmar.

Katanya, semua warga asing yang ditahan itu berusia 20 hingga 36 melibatkan Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor tahun.

Selain itu katanya, tiga notis hadir ke pejabat dikeluarkan pihak JIM manakala tujuh notis ke atas penjaja tanpa lesen dan lima notis sitaan dikeluarkan MBJB.

Tambahnya, semua warga asing yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.

Mereka juga katanya, disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa selain Peraturan 17(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas sosial.

“Turut ditahan seorang lelaki warga Bangladesh yang merupakan penyelia premis di sebauh pusat premis cuci kereta tidak berlesen dan siasat bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1952/63 (Akta 155),” katanya.

Sementara dalam serbuan di daerah Pontian katanya, Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pontian (MPP) melakukan serbuan di 14 premis.

Beliau memberitahu, 14 lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan iaitu lima lelaki Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita Vietnam, tiga lelaki Myanmar, seorang lelaki warga India dan seorang lelaki Nepal.

“Mereka yang ditahan berusia 19 hingga 45 tahun. Dua notis hadir ke pejabat dikeluarkan JIM. Dua tawaran kompuan bagi kesalahan gagal mempameran lesen perniagaan dikeluarkan MPP,” ujarnya.

Mereka katanya, turut disiasat bawah akta yang sama.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here