Ahmad Fadhli ketika berucap dalam ceramah kelompok di Taman Sri Kkuang di sini malam tadi.

KLUANG – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa larangan menyentuh isu bangsa, agama dan raja (3R) hanya dikenakan tindakan terhadap pemimpin pembangkang.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, ini kerana apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing menyentuh isu 3R, beliau terlepas begitu sahaja.

Beliau memberita, perbuatan itu dilakukan menteri terbabit semasa berkempen yang menyatakan jika Perikatan Nasional (PN) memerintah, orang Cina tidak dibenar memakai skirt atau seluar pendek.

‘Kita nak ingatkan bahawa tiada siapa halang bukan muslim untuk memakai skirt atau seluar pendek. Bukan masalah PN jadi kerajaan atau tidak.

“Sebagai contoh di Kelantan (yang diperintah Pas) boleh pakai skirt dan seluar pendek di tempat awam dan bukan premis kerajaan mengikut kesesuaian.

“Tiada masalah untuk tempat yang tidak digazetkan dengan kod pakaian tetapi ada tempat yang kita perlu ikut kod pakaian,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok di Taman Sri Kluang malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, dakwaan King Sing itu adalah satu ancaman terhadap 3R dan perlu disiasat tetapi sehingga kini tiada apa-apa tindakan.

“(Larangan dan tindakan 3R) Hanya berkuat kuasa terhadap pemimpin pembangkang,” dakwanya lagi.

King Sing semasa berucap pada majlis Kebudayaan Mahkota bersama sekumpulan masyarakat di Kampung Masjid Lama di sini malam kelmarin, menggesa pengundi Cina dalam Pilihan Raya Kecil (ORK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota keluar mengundi dan membuat pilihan yang tepat esok.

Beliau berkata, jika mereka tidak mengundi dengan bijak, mereka mungkin kehilangan hak untuk memakai seluar pendek dan berskirt mini.

Katanya lagi, sekiranya orang Cina tidak mengundi akan memberi isyarat sokongan terhadap pandangan yang dipromosikan oleh Pas.

“Saya bergurau dengan beberapa wanita. Saya kata, di Mahkota, kita ada pilihan raya kecil (PRK)… Ada parti yang mengetengahkan pandangan agama dan etnik mereka. Bagaimanakah kita akan melindungi nilai kita sendiri?

“Saya secara berseloroh memberitahu mereka, kerana dia memakai skirt yang tidak menutupi lututnya.

“Saya berkata, ‘anda perlu melindungi hak ini, jika tidak, lain kali, anda tidak akan berpeluang memakai skirt mini atau seluar pendek seperti itu. Anda hanya boleh menggantungnya di dalam bilik anda’.

“Jika di Mahkota ini, dengan hanya satu undi, kita tidak berusaha untuk menyokong PRK ini, ini menunjukkan masyarakat Cina kita menyokong pandangan yang dianjurkan oleh Pas,” katanya.

Kira-kira 35 peratus pengundi Mahkota adalah Cina, 54 peratus Melayu dan lapan peratus India.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here