SEPANG – Ketua Polis Daerah Sepang yang baharu diharap akan meneruskan inisiatif kerjasama yang baik di antara agensi dan masyarakat setempat.
Itu nasihat Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Sepang, hari ini.
Ujar beliau, kerjasama yang baik di antara warga ibu pejabat polis dengan masyarakat dapat membantu usaha memerangi jenayah.
“Saya percaya ACP Wan Kamarul Azram Wan Yusof telah memupuk suasana harmoni sesama masyarakat buktinya hari ini ramai agensi lain hadir majlis ini. Saya berharap Ketua Polis Darrah baharu juga meneruskan usaha positif ini kelak,” katanya.
Terdahulu, ACP Wan Kamarul Azram Wan Yusof menyerahkan tugas Ketua Polis Daerah Sepang kepada Superintendan Shan Gopal Krishnan selaku pemangku jawatan berkenaan.
Jelas Omar, Shan Gopal akan memangku jawatan itu sehingga pucuk pimpinan membuat keputusan.
Dalam pada itu, beliau yakin Wan Kamarul akan dapat menggalas tugas baharunya sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.
“Saya yakin kerana jawatan, pengiktirafan ini berdasarkan khidmat cemerlangnya,” katanya.
Wan Kamarul menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Sepang kira-kira empat tahun. – MalaysiaGazette