PUTRAJAYA – Pembatalan enam syarikat yang mengendalikan 58 loji rawatan air (LRA) bernilai RM3.8 bilion ketika era pentadbiran Parti Warisan Sabah (Warisan) antara punca krisis air di Sabah berlarutan sehingga ke hari ini.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kebimbangan itu disuarakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang kini berdepan tohmahan rakyat sedangkan kegagalan itu dilakukan pentadbiran terdahulu.

“Ketua Menteri Sabah ada menyebut, Warisan ini salah satu penyebab kepada masalah air di Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah di bawah pentadbiran Mohd Shafie sebelum ini tidak membuat perancangan begitu rapi.

“Beliau membatalkan syarikat ini, prosedur untuk melantik kontraktor baharu sudah tentu ambil masa dan tindakan ini memberi kesan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan tiga dokumen berkenaan kontraktor konsesi air Sabah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.

Terdahulu Zulkarnain menyerahkan tiga dokumen berkaitan dengan kontraktor baharu bagi 58 LRA di Sabah mempunyai kaitan dengan Warisan dan Mohd Shafie.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Ketua Menteri itu menafikan krisis air yang berpanjangan di Sabah tidak mempunyai kaitan dengan Warisan.

Mohd Shafie berkata, sebaliknya beliau menuding jari ke arah pentadbiran kerajaan GRS pimpinan Hajiji yang lemah dan gagal memgatasi masalah bekalan air.

Sehubungan itu, Zulkarnain meminta SPRM menyiasat dokumen tersebut dan kontraktor baharu yang kini menguruskan 58 LRA di Sabah, dikatakan dilantik semasa pentadbiran Mohd Shafie hingga gagal menguruskan bekalan air bersih sehingga kini.

“Wujud tuduhan-tuduhan tertentu yang kita tidak pasti kesahihannya mengenai kontraktor baharu ini. Sebab itu kita satu surat penyerahan tiga dokumen untuk meminta pihak SPRM menjaga kepentingan umum.

“SPRM diminta menyiasat dakwaan netizen kononnya kontraktor baharu lantikan Warisan pada 2018 berkemungkinan mempunyai hubungan dengan pimpinan parti Mohd Shafie.

“Kita difahamkan kontraktor baharu ini ada sesuatu dengan kerajaan terdahulu, sebab itu kita minta pihak SPRM dapat menyiasat kontraktor baharu ini kerana masih gagal menguruskan air Sabah sampai sekarang,” katanya.

Katanya lagi, krisis bekalan air bersih di Taman Rugading yang dilaporkan akhbar tempatan pada 2020 merupakan bukti kegagalan Mohd Shafie menguruskan keperluan asas rakyat ketika itu.

“Berita ini dikeluarkan pada 2020, waktu itu Warisan masih memerintah Sabah, di sini jelas kita tengok penduduk Taman Rugading minta masalah ketiadaan air diselesaikan.

“Kenapa berlaku begini, sebabnya ialah kurang cerdiknya kepimpinan Shafie Apdal,” katanya. – MalaysiaGazette 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here