Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kumpulan samun yang menyamar sebagai polis, Wira Tempang, tumpas dengan tertangkap tujuh ahlinya di Shah Alam, Selangor pada Isnin lalu dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pada 19 September lalu pihak menerima laporan daripada pengadu warga Bangladesh yang bekerja sebagai peniaga menyatakan bahawa dia telah disamun oleh sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai anggota polis.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa mangsa seorang diri berada di perkarangan hadapan Blok E Flat Valencia Seksyen 25 Shah Alam sebelum didatangi beberapa orang lelaki secara tiba-tiba memukul dan telah merampas wang tunai berjumlah RM7,000 beserta dua buah telefon bimbit milik mangsa.

“Polis mendapati, salah seorang dari suspek dikenali dengan nama panggilan ‘Wira Tempang’ dalam kejadian itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Iqbal, bertindak atas maklumat dan aduan mangsa, pada jam 9 malam 23 September lalu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD Shah Alam melakukan tangkapan ke atas lima lelaki di Shah Alam yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun itu.

Tambah beliau, mereka berumur antara 39 hingga 54 tahun dan semakan mendapati mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Katanya, dua lagi individu yang disyaki turut terlibat dalam samun berkumpulan yang menyamar sebagai polis itu diberkas pada petang tadi.

“Siasatan lanjut polis juga mendapati suspek yang dikenali sebagai ‘Wira Tempang’ seorang lelaki berumur 46 tahun dan bekerja sebagai penarik kereta merupakan ketua kumpulan samun itu.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat bukan anggota polis yang sah dan tiada penglibatan anggota polis dalam kejadian samun ini,” ujarnya.

Mohd Iqbal berkata, lima suspek pertama direman selama tujuh hari sehingga 30 September ini manakala dua lagi suspek yang baru ditahan hari ini akan reman esok untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast