NIBONG TEBAL – Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan mendatangkan kecederaan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) dalam dua serbuan semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, masing-masing mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah jam 12.20 pagi di kawasan Juru, Bukit Mertajam dan Ayer Itam dekat sini.
“Kedua-dua suspek itu ditahan bersangkut dengan laporan Machang Bubok dekat sini dan kita merampas beberapa barang bukti semasa tangkapan termasuk dua motosikal, tiga bilah pisau, dua telefon bimbit, serangkai anak kunci pelbagai jenis dan 14 keping wang kertas mata wang dalam serta luar negara.
“Hasil tangkapan kedua-dua suspek itu polis berjaya menyelesaikan lima kes samun mendatangkan cedera dan satu kes curi motosikal dalam daerah SPT membabitkan kerugian bernilai RM12,350.
“Semakan lanjut juga mendapati masing-masing mempunyai 25 dan 14 rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah serta narkotik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di sini, hari ini.
Tambah Hamzah, kedua-dua suspek yang positif dadah itu kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette