KUALA LUMPUR – Malaysia boleh mengurangkan populasi perokok sebanyak 1.35 juta orang menjelang 2030 melalui strategi Pengurangan Kemudaratan Tembakau.
Pengurangan itu dapat menjimatkan kos penjagaan kesihatan sebanyak RM2.47 bilion dalam tempoh yang sama.
Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Sdn Bhd (Dare), Pankaj Kumar berkata, penemuan itu adalah berdasarkan analisis strategi pengurangan kemudaratan yang berjaya dilaksanakan di negara-negara seperti United Kingdom dan New Zealand.
Menurutnya, jika Malaysia mengadaptasi langkah pengurangan kemudaratan yang serupa, antara 155,000 hingga 294,000 perokok boleh berhenti merokok setiap tahun melalui penggunaan rokok elektronik vape yang akan membantu menurunkan prevalensi merokok sebanyak 3.2 peratus hingga 6.1 peratus setiap tahun.
Bagaimanapun katanya, laporan itu memberi amaran bahawa peraturan punitif, seperti larangan paparan vape yang bakal dilaksanakan, boleh menggagalkan usaha tersebut.
“Negara seperti United Kingdom dan New Zealand telah menunjukkan kepada kita impak yang boleh dibawa oleh strategi pengurangan kemudaratan terhadap kesihatan awam.
“Jika kita menerapkan langkah yang sama di sini, Malaysia boleh melihat pengurangan ketara dalam populasi perokok, menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan sebanyak berbilion-bilion (ringgit),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pankaj berkata, selain menekankan hasil positif daripada laporan tersebut, DARE juga menggesa kerajaan Malaysia untuk menilai semula sebarang peraturan punitif yang boleh menghalang usaha pengurangan kemudaratan.
“Dasar seperti larangan paparan vape bertentangan dengan prinsip pengurangan kemudaratan. Daripada membantu perokok beralih kepada alternatif yang kurang memudaratkan, langkah-langkah ini mungkin secara tidak sengaja mendorong pengguna kembali kepada rokok atau mencari pasaran gelap.
“Strategi pengurangan kemudaratan berfungsi dengan baik apabila alternatif yang kurang memudaratkan ditawarkan, mudah diakses dan disokong oleh mesej kesihatan awam yang jelas,” tambah Pankaj.
Dalam pada itu, DARE menggesa kerajaan menangani isu operasi seperti menetapkan garis panduan yang jelas mengenai kandungan produk, tahap nikotin dan piawaian keselamatan.
Laporan itu merumuskan pengurangan kemudaratan boleh memainkan peranan penting dalam perjalanan Malaysia menuju masyarakat bebas asap rokok.
Bagaimanapun kata Pankaj, untuk mencapai matlamat berkenaan, peraturan yang bijak untuk menggalakkan alternatif yang kurang memudaratkan dan menghalang penglibatan golongan muda diperlukan. – MalaysiaGazette