MERSING – Seorang pekerja pembersihan kontrak yang cedera parah akibat diserang gajah di kawasan belukar di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Tenggaroh 5, di sini, semalam kini ditidurkan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, DSP Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Zalini Dahlan, 51, masih lagi menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

“Saya dimaklumkan oleh isterinya bahawa Zalini telah ditidurkan (diintubasi) atas nasihat doktor, dipercayai bagi memulihkan kembali tenaganya.

“Difahamkan terdapat keretakan pada tulang pinggul dan satu tulang rusuk, serta pendarahan dalam kepala mangsa. Ini adalah maklumat yang kita peroleh setakat petang tadi,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.”

Semalam, media melaporkan Zalini cedera parah manakala rakannya Mohamad Syafik Yakob, 31, meninggal dunia akibat diserang gajah selepas menghalau haiwan liar tersebut daripada mendekati kawasan SK Tenggaroh 5.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dipetik berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor akan melaksanakan kawalan dan pemantauan berterusan di kawasan Felda berkenaan dan operasi menangkap haiwan itu akan dimulakan serta-merta bagi memastikan keselamatan penduduk setempat. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here