KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yakin sokongan dan kesetiaan masyarakat India terutamanya pengundi dalam kalangan komuniti itu masih lagi kuat serta utuh bagi logo ‘dacing’ Barisan Nasional (BN).
Malah kata Vigneswaran yang juga mantan Yang di-Pertua Dewan Negara itu, beliau amat pasti dan yakin dengan kemenangan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota esok.
MIC yang telah ‘all out’ sejak bermulanya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota juga sempat menyantuni lebih 5,000 pengundi India kawasan itu bersama semua pimpinan tertinggi pusat diketuai Vigneswaran dan Datuk Seri M Saravanan.
“Saya bersama pimpinan MIC yang lain telah bertemu dan menyantuni setiap pengundi DUN Mahkota, rata-rata hampir kesemuanya tampil gembira dan lega adanya wakil calon dalam kalangan pimpinan BN seperti sebelum ini.
“Masyarakat India juga telah menyaksikan pelbagai fasa perubahan kerajaan sejak Pilihan Raya Umum 2008 lagi, ketika itu lagi sokongan masyarakat India sedikit sebanyak beralih kepada pihak satu lagi berikutan pelbagai isu dan perasaan tidak puas hati.
“Namun hakikatnya, sejak beberapa tahun ini komuniti ini semakin matang dan mula memahami apakah sebenarnya perjuangan dan jasa kerajaan terdahulu khasnya BN dan MIC kepada mereka selama puluhan tahun.
“Selepas tukar kerajaan, banyak juga janji retorik ditabur namun tidak pernah tertunai sehingga menyebabkan kaum ini mampu menilai kaca dan permata. Kali ini apabila mereka melihat kita (MIC) turun kempen, tengok logo dacing serta pimpinan BN, masing-masing meluahkan rasa gembira kerana mereka tahu siapa berjuang untuk kebajikan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Kata Vigneswaran lagi, beliau sempat hadir ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sekitar DUN Mahkota semalam sebelum berakhirnya kempen hari ini namun sokongan serta kehadiran setiap lokasi itu penuh dengan masyarakat India.
Jelasnya, rata-rata bukan hadir untuk melahirkan cabaran serta isu menghantui mereka sebaliknya sekadar mahu bertemu dengan pimpinan MIC itu sendiri.
“Senario seperti ini agak berbeza berbanding pada kempen-kempen politik beberapa tahun dulu, sokongan dan kehadiran terhadap kita agak kurang malah kadang-kala dipandang sepi. Hari ini, ianya agak lain. Kerana itu juga saya katakan, sokongan masyarakat India kepada BN itu ‘solid’ serta teguh.
“Calon yang BN ketengahkan juga bukanlah satu nama asing sebaliknya beliau juga dikenali dalam kalangan masyarakat setempat, itu juga antara ‘kemenangan’ buat kita. Penyandang kerusi DUN Mahkota juga bukan calang-calang sebaliknya banyak menaburkan bakti sehingga pengundi mengalu-alukan kita bertanding sekaligus menang,” ujarnya.
Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kira-kira lapan peratus daripada keseluruhan 66,318 pemilih dalam PRK DUN Mahkota esok merupakan pengundi India.
Vigneswaran juga mendedahkan, komuniti India juga sedar realiti menyokong BN adalah mustahak dalam memastikan kestabilan negara dari segi politik dan ekonomi yang akhirnya akan memberi manfaat kepada kaum itu.
Tambah beliau lagi, itu juga antara sebab mengapa rata-rata pengundi India tidak akan tertipu dengan dakyah politik pihak lawan semata-mata mendapatkan undi kemenangan tanpa benar-benar ikhlas melaksanakan janji untuk rakyat. -MalaysiaGazette