KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bekerjasama dengan semua kerajaan negeri untuk membangunkan Indeks Inovasi Malaysia yang akan dilancarkan pada tahun depan.
MOSTI dalam kenyataannya memaklumkan, inisiatif itu bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ekosistem inovasi di setiap negeri, sekaligus membolehkan pelaksanaan intervensi yang bersesuaian ke arah memperkukuhkan ekosistem inovasi negara.
Katanya, Inisiatif tersebut adalah selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia Madani untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan menjadi negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030.
“Peningkatan prestasi Malaysia dalam GII (Laporan Indeks Inovasi Global) dan kemasukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi adalah bukti komitmen kerajaan amnya dan MOSTI khasnya untuk memperkukuhkan ekonomi negara berasaskan kepada inovasi.
“Malaysia akan terus mempertingkatkan usaha untuk melabur dalam modal insan dan infrastruktur teknologi bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Malaysia telah mencapai kedudukan tertinggi sejak 2016 dengan menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5 dalam GII 2024.
Katanya, ia menandakan peningkatan ketara setelah tiga tahun berturut-turut menduduki tangga ke-36, menunjukkan komitmen berterusan Malaysia untuk terus menambah baik ekosistem inovasi negara dan seterusnya meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
MOSTI menjelaskan, Malaysia kekal menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dari kalangan 36 negara berpendapatan sederhana atas berdasarkan Laporan GII 2024.
“Bagi negara ASEAN pula, Malaysia kekal berada di tempat kedua selepas Singapura,” ujarnya.
Katanya lagi, Malaysia turut berjaya mengekalkan kedudukan pertama bagi tiga sub-indikator iaitu Graduan Sains Dan Kejuruteraan, Eksport Berteknologi Tinggi dan Eksport Barangan Kreatif.
“Ekosistem inovasi Malaysia turut diperkukuhkan dengan Kuala Lumpur menduduki tangga ke-93 dalam senarai 100 terbaik kluster sains dan teknologi yang turut dilaporkan dalam Laporan GII 2024.
“Kemasukan Kuala Lumpur dalam senarai 100 terbaik kluster sains dan teknologi buat kali pertama sejak 2016 merupakan bukti peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab inovasi dan kemajuan teknologi di rantau Asia Tenggara,” jelasnya. – MalaysiaGazette