Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan terhadap insiden pembuangan tong berisi cecair dipercayai sisa kimia di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung penemuan lapan tong berisi cecair dipercayai sisa kimia yang dibuang dalam parit pada kedalaman 0.3 meter di kawasan kampung tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/09/26/8-tong-cecair-dipercayai-bahan-kimia-dibuang-dalam-parit-di-kampung-desa-aman/

“Kita sudah buka kertas siasatan dan kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana bencana terhadap tali air.

“Malah, sampel bahan kimia berkenaan juga sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya selepas dihubungi hari ini.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar dilaporkan berkata, lapan tong cecair disyaki sisa kimia itu sudah dialihkan dan dibawa ke tapak perlupusan selamat di Bukit Tagar, malam tadi.

“Berdasarkan semakan awal yang dilakukan mendapati sisa kimia berkenaan disyaki sebagai larutan ammonia.

“Kami sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu (pembuangan bahan kimia berkenaan) bagi mengesan pelaku,” katanya.

Semalam, Bomba Selangor menerusi kenyataan media mengesahkan tentang penemuan lapan tong berisi cecair dipercayai sisa kimia dibuang dalam parit di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh pada 24 September lalu.

Katanya pihaknya menerima panggilan awam mengenai penemuan tong Kimia itu sekitar jam 9 malam pada Selasa lepas.

Difahamkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor masih menjalankan pemantauan di lokasi untuk mengelak kejadian tidak diingini selain dibantu unit HAZMAT untuk tugas mengambil sampel. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here