KLUANG – Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota esok, calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar mengharapkan ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
Malah, menurut Mohamad Haizan, beliau turut mengharapkan anak rantau termasuk yang bekerja di Singapura berkorban masa dan tenaga untuk pulang mengundi.
“Esok hari pengundian, saya minta beramai-ramailah turun (mengundi), kalau boleh turun awal sebab cuaca pun tidak menentu.
“Kepada pengundi luar termasuk yang kerja di Singapura, hari ini kena balik, dan berilah sokongan kepada saya calon nombor dua, Coach Haizan, calon Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Selepas kira-kira dua minggu berkempen, PRK DUN Mahkota tiba pada hari penentuan apabila 61,274 pemilih biasa akan mengundi esok.
Kesemua mereka akan mengundi bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang esok, di 20 pusat mengundi membabitkan sebanyak 109 saluran.
Pada PRK itu, Mohamad Haizan yang juga lebih dikenali sebagai Coach Haizan akan menentang calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah dalam pertembungan satu lawan satu.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu, akibat pendarahan dalaman. – MalaysiaGazette