BUNG Moktar Radin bersama Syed Hussein Syed Abdullah ketika berkempen sempena PRK DUN Mahkota di PDM Kampung Tengah, Kluang, Johor, semalam. - Foto: FB Bung Moktar Radin

KLUANG – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota penting untuk dibawa sebagai suntikan semangat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tahun hadapan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan itu juga akan terus meningkatkan moral ahli-ahli BN khususnya UMNO terutama selepas kemenangan pada PRK DUN Nenggiri lalu.

Jelas beliau, kemenangan di PRK DUN Mahkota esok serta pada PRK DUN Nenggiri lalu membuktikan segala transformasi yang dilakukan di dalam UMNO ketika ini dapat diterima rakyat.

“Kemenangan BN di DUN Mahkota serta pada PRK DUN Nenggiri lalu memberikan momentum positif kepada jentera BN dan UMNO di seluruh negara.

“Dalam masa sama bagi UMNO dan BN Sabah, kejayaan BN dalam kedua-dua PRK ini akan turut memberikan anjakan paradigma untuk kami lebih yakin dan bersemangat menghadapi PRN Ke-17 di Sabah akan datang,” katanya ketika turun berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, di sini, semalam.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, tempoh akhir berkempen pada PRK DUN Mahkota ketika ini seharusnya digunakan dengan lebih agresif oleh jentera BN dalam mendekati lebih ramai pengundi.

Ujarnya, meskipun BN dilihat mampu memenangi PRK itu, namun tanggapan sedemikian tidak seharusnya melalaikan jentera kempen BN memandangkan matlamat utama adalah memastikan kemenangan dengan majoriti besar.

Jelas beliau, pengundi DUN Mahkota perlu diyakinkan yang mana pemilihan Syed Hussein Syed Abdullah sebagai calon BN adalah pilihan tepat untuk mewakili mereka sebagai wakil rakyat yang dapat menghubungkan dengan Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Pusat dengan mudah serta berkesan.

“Pengundi di DUN Mahkota perlu diyakinkan tidak ada sebab mengapa mereka perlu menolak BN.

“Banyak perubahan dari segi pembangunan dan kesejahteraan rakyat telah diberikan perhatian oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast