Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KLUANG – Berbaki kurang 24 jam sahaja lagi sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota esok, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pengundi khususnya penyokong Barisan Nasional (BN) menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pengundi BN perlu memastikan kemenangan calon parti itu, Syed Hussein Syed Abdullah esok, dengan mengundi calon nombor satu.

“Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum esok pukul 8 pagi, jadi orang Mahkota janganlah lupa undi calon nombor satu, Syed Hussein.

“Sama-sama kita doakan Syed Hussein menang PRK DUN Mahkota ini dengan majoriti yang Allah SWT berikan yang terbaik, insya-Allah,” katanya.

Beliau berucap pada program Gegar Jejak Kerjaya MyFuture Jobs Orang Mahkota 2024 anjuran bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sekali lagi mengulangi penegasan yang mana Syed Hussein tidak mempunyai rekod jenayah atau kes mahkamah seperti didakwa pembangkang.

Malah, katanya, perkara itu turut disahkan sendiri Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar kepada beliau dalam pertemuan pagi ini.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan pernah ditangkap polis berhubung satu kes pukul.

Malah, Badrul Hisham yang juga lebih dikenali sebagai Chegu Bard turut menunjukkan dokumen yang didakwanya laporan polis yang menyatakan Syed Hussien terlibat dengan kes jenayah itu.

Bagaimanapun, Syed Hussien menafikan dakwaan terbabit dan menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Chegu Bard. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast