PU Azman ketika di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini

KLANG – Pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman dijatuhi hukuman 24 tahun penjara dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dua tahun lalu. 

Perintah dikeluarkan Hakim Noridah Adam terhadap PU Azman atau nama sebenar Azman Syah Alias, 43, dalam sesi pendengaran keputusan penghakiman itu, hari ini.

Azman yang sering membahasakan dirinya Cik Man turut diarahkan menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.

Noridah membuat penghakiman itu selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes itu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur  ‘Ayuni Jamri manakala Azman diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad.

Pada 26 Disember tahun lalu, Azman diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan dua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.

Azman didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.

Terdahulu pihak pembelaan memohon mahkamah untuk menangguhkan pelaksaanan hukuman tersebut memandangkan tertuduh masih mempunyai kes lain di beberapa mahkamah.

“Kami mohon ditangguhkan dahulu hukuman. Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh, tidak ada kesalahan lampau.

“Tertuduh ini merupakan mangsa mahkamah kes lain yang masih berjalan. Ada kes sudah berjalan dan masih belum berjalan.

“Anak guam kami diberikan penangguhan pelaksanaan kerana beliau mempunyai empat lagi kes di mahkamah-mahkamah lain.

“Antaranya lima kes di Mahkamah Sesyen 2 Seremban, satu kes di Majistret Klang, di Mahkamah Shah Alam masih lagi berjalan sampai 14 Oktober, malah kes di mahkamah Ampang belum pun bermula,” katanya.

Pihak pembelaan juga memohon mahkamah meringankan hukuman dengan mengambil kira sumbangan Azman kepada masyarakat.

“Beliau pernah membuat motivasi, kuliah al-Quran dan memberi ajaran kepada anak muda untuk celik al-Quran.

“Tertuduh mempunyai tujuh adik-beradik dan merupakan anak bongsu yang menjadi penyumbang utama kepada keluarganya yang susah.

“Sekiranya mahkamah beri hukuman penjara lama, ia beri kesan besar bukan sahaja diri bahkan kepada keluarga.

“Tertuduh sudah bercerai dan tiada anak perlu diberikan hukuman minimum kerana beliau memberi kerjasama kepada mahkamah dan polis untuk kes berjalan dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun pihak pendakwa raya menegaskan agar tertuduh diberikan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan jenayah terhadap kanak-kanak.

“Hukuman maksimum 20 tahun penjara jelas menunjukkan akta ini diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak.

“Hukuman berat ini untuk memberi impak kepada masyarakat tentang keseriusan jenayah seksual, menjaga kesantunan dan penghormatan masyarakat serta perlindungan hak kanak-kanak,” katanya.

Menurut pihak pendakwaan lagi, hukuman berat mengambil kira peningkatan kesalahan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat di negara ini khususnya Selangor.

“Tertuduh seorang yang dewasa sepatutnya membimbing mangsa dan bukan memecahkan kepercayaan yang diberikan guru dan ibu bapa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here