KUANTAN – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di kilometer 128 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan berhampiran Temerloh pada jam 12.05 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan berkata, kejadian membabitkan seorang wanita berstatus pemastautin tetap berusia 41 tahun yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss.
“Hasil siasatan awal mendapati, wanita itu dari arah Seberang Temerloh menghala ke Mentakab.
“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa melalui selekoh susur ke kanan, tiba-tiba motosikal ditunggangnya hilang kawalan, masuk ke bahu jalan kiri yang tidak berturap lalu terbabas,” katanya dalam kenyataan.
Susulan kemalangan tersebut, katanya wanita Melayu Thailand itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ). – MalaysiaGazette