BGU PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Kampung Melayu, Kluang, malam ini lengang dan suram

KLUANG – Bilik Gerakan Utama (BGU) Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Kampung Melayu, di sini, lengang dan suram.

Tinjauan di BGU berkenaan mendapati, tiada kepimpinan tertinggi PN yang hadir.

Hanya kelihatan Pengarah PRK DUN Mahkota bagi PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ;Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Naib Pengerusi PN Johor, Mohd Solihan Badri.

Petugas media yang berada di BGU PN sejak pukul 7 malam masih menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan PN dan pemimpin tertinggi gabungan politik tersebut untuk mendapat komen.

Ini berikutan terdapat perbincangan tertutup dalam BGU yang difahamkan melibatkan pimpinan PN.

Keadaan terkini bilik gerakan tersebut amat berbeza berbanding suasana ketika pengumuman calon dan ceramah yang agak ramai di BGU tersebut.

Kadaan amat berbeza pada malam ini apabila tidak ramai penyokong parti yang hadir untuk melihat keputusan PRK DUN Mahkota.

Terdahulu bekalan elektrik di BGU tersebut terputus pada pukul 2.30 petang.

Pada PRK DUN Mahkota, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah mempertahankan kerusi DUN Mahkota yang diumumkan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pukul 9.10 malam ini.

Syed Hussien memperoleh 27,995 undi menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

Seramai 35,343 pengundi menunaikan tanggungjawab untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota pada kali ini.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here