KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dari lima buah negeri hari ini sepakat mengemukakan notis untuk menggesa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Khas diadakan bagi melaksanakan pemilihan.
Pengerusi GPMS Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi berkata, notis tersebut ditandatangani oleh lima buah negeri yang sepakat menyatakan pendirian tersebut kepada pucuk pimpinan.
Lima buah negeri itu adalah Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Negeri Sembilan.
Katanya, gesaan berkenaan wajar disuarakan demi mengelakkan GPMS dikenakan tindakan oleh Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
“Kami berpendirian arahan ROY untuk mengadakan pemilihan dalam tempoh 30 hari bersifatkan mengikat dan perlu diikuti. Maka di sini hari ini kami ambil ketetapan, kami bersepakat kami guna hak dalam perlembagaan untuk menandatangani satu notis menggesa PAT Khas bagi tujuan pelaksanaan permilihan sebagai mematuhi arahan ROY untuk mengelakkan sebarang bentuk implikasi.
“Ke arah menyatakan penegasan itu, dalam masa 30 hari (PAT) ini perlu dilaksanakan setelah notis yang kami aktifkan kami,” katanya ketika sidang media khas ‘Selamatkan GPMS’, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Hidayat, tidak wajar untuk mengingkar arahan ROY hanya kerana kekhilafan dan sikap pihak tertentu yang mahu kekal meneraju GPMS lebih lama.
Jelasnya, pemilihan yang dalam sebuah gabungan sepatutnya membuktikan demokrasi yang diamalkan.
“Tidak akanlah kita nak digantung atau dibatalkan pendaftaran hanya kerana kita nak kekal penggal selama tiga hingga enam bulan lagi, ikut akal sihat ia tidak wajar.
“Pemilihan bukan bererti berlaku pertukaran kepimpinan tapi demonrasi berlaku. Hak demokrasi hak perwakilan biarlah mereka tentukan sebagai pemegang amanah besar tanggungjawab itu,” katanya.
Sementara itu menurut beliau, berdasarkan perlembagaan notis tersebut perlu dijawap dalam tempoh 14 hari.
Beliau berkata, kedegilan pihak tertentu dalam gabungan itu hanya akan memberi kesan buruk kepada GPMS.
“(Penegasan kami ini adalah untuk) Selamatkan GPMS bukan untuk kami untuk akar umbi di bawah,” katanya.
Tambahnya, gabungan kelima-lima buah negeri itu bersedia untuk memberi bantuan sekiranya diperlukan demi melaksanakan PAT dan pemilihan seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan.
“Kalau tidak cukup duit, atau apa negeri yang lain boleh bantu. Cuma jangan sorok bincang, jangan selektif buat keputusan selamatkan GPMS bersama-sama,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hidayat menafikan beliau menggunakan kapasitinya sebagai Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor untuk memberi tekanan kepada badan kerajaan bagi mendesak GPMS melaksanakan pemilihan.
Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis dalam masa terdekat untuk menafikan dakwaan yang disebarkan menerusi hebahan aplikasi Whatsapp.
“Tersebarnya Whatsapp liar mendakwa saya atas kapasiti tugas rasmi saya buat tekanan tertentu kepada badan kerajaan untuk desak pemilihan dengan penuh hormat saya menyatakan ia tidak benar sama sekali dan laporan polis akan dibuat bagi tujuan menafikan perkara tersebut.
“Sebagai penjawat awam saya ada etika perlu dikuti. Kapasiti saya tidak lebih dan tidak kurang mengembalikan khidmat membangun agenda pendidikan,” ujarnya,
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, bekas Presiden GPMS, Jais Abd Karim menyarankan badan itu mengadakan pemilihan ahli majlis tertinggi seperti disarankan ROY, tahun ini.
Menurut Jais, sekiranya gabungan itu gagal berbuat demikian, ia boleh memberi implikasi buruk kepada kelangsungan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah bertapak sejak 1948.
Bagaimanapun, Presidennya Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, gabungan itu bersedia untuk mengadakan pemilihan ahli majlis tertinggi pada tahun ini sekiranya ROY menolak permohonan badan itu melaksanakan proses tersebut tahun depan.
Katanya, pemilihan ahli majlis tertinggi GPMS adalah tiga tahun sekali seperti mana termaktub di dalam perlembagaan. -MalaysiaGazette