Jawaher Fahad M. Alshemmeri dan ibunya, Moneerah Homoud B. Alblaihed, berkongsi detik yang membanggakan bersama bapa dan suami mereka, Dr Fahad Mohammed N. Alshemmeri, atase Kebudayaan Saudi di Malaysia, pada majlis konvokesyen ke-37 Universiti UCSI.

 

KUALA LUMPUR – Graduan duo ibu dan anak dari Arab Saudi mencuri tumpuan ramai di Konvokesyen ke-37 Universiti UCSI apabila mereka menamatkan pengajian pada masa yang sama dengan kelayakan yang sama.

Diraikan oleh rakan-rakan yang terbang dari Riyadh, Moneerah Homoud B. Alblaihed dan anak perempuannya, Jawaher Fahad M. Alshemmeri, melahirkan rasa gembira ketika mereka menerima skrol mereka.

Mereka berdua menamatkan ijazah Sarjana dalam Pengurusan Hospitaliti Antarabangsa, mempamerkan minat mereka bersama untuk bidang tersebut.

“Belajar bersama anak perempuan saya merupakan pengalaman yang hebat. Kami memberi galakan kepada satu-sama lain dan sama-sama berkongsi momen penting ini,” kata Moneerah.

Hubungan keluarga itu dengan Malaysia sememangnya rapat.

Dr Fahad Mohammed N. Alshemmeri, suami Moneerah dan bapa Jawaher, berkhidmat sebagai atase Kebudayaan Saudi di Malaysia.

Beliau juga memiliki PhD dari universiti awam di Malaysia.

Naib Canselor dan Presiden Universiti UCSI Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir memuji pencapaian kedua-dua mereka.

“Kisah unik dan menakjubkan tentang ibu dan anak perempuan yang menamatkan pengajian bersama ini mengingatkan kita bahawa pendidikan tidak terikat dengan usia.

“Mereka mencerminkan semangat pembelajaran sepanjang hayat yang kami hargai di UCSI dan jelas menunjukkan pencarian ilmu boleh merapatkan jurang merentas generasi,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here