KUALA LUMPUR – Masyarakat disaran agar tidak hanya menganggap Hari Pembersihan Sedunia sekadar suatu acara tahunan, sebaliknya jadikan ia amalan hidup agar persekitaran sentiasa bersih.
Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, sampah yang dibuang di tempat awam sama ada jalanan, pantai dan hutan adalah suatu amalan tidak sihat yang memberikan petunjuk kepada isu lebih besar iaitu memandang remeh terhadap aspek kebersihan.
“Aktiviti kita pada hari ini melangkaui sekadar mengutip sampah sahaja, kita hendak memupuk budaya kesedaran pemeliharaan alam sekitar dan penjagaan kebersihan awam secara bersama.
“Persekitaran yang kotor disebabkan pelbagai faktor. Ini termasuk pencemaran, masalah pengurusan sisa, kepadatan penduduk dan urbanisasi serta kelemahan tadbir urus.
“Tetapi paling utama sekali adalah tingkah laku dan sikap individu yang tidak ambil peduli kebersihan seperti membuang sampah merata-rata,” katanya ketika berucap sempena Pelaksanaan Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega World Cleanup Day 2024 yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa di sini, hari ini.
Menurut kor Ming, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan 20 September pada setiap tahun sebagai Hari Pembersihan Sedunia.
Acara global tahunan itu adalah salah satu usaha yang didedikasikan untuk menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat dan meningkatkan kesedaran terhadap tindakan pembersihan awam kepada seluruh masyarakat.
Menurutnya, pada tahun2020, KPKT melalui SWCorp telah menyahut seruan tersebut dan pertama kalinya menganjurkan Program Hari Pembersihan Sedunia Peringkat Kebangsaan melibatkan seramai 3,961 orang sukarelawan di 39 buah lokasi di seluruh Malaysia.
Beliau memberitahu, di Malaysia, sejumlah 13.91 juta tan sisa pepejal telah dihasilkan 2021 dan jumlah itu meningkat kepada 14.25 juta tan pada 2023.
“Kita menjangkakan ia akan terus meningkat jika tiada tindakan untuk mengurangkan penjanaan sisa yang diambil. Setiap individu di negara ini pada asasnya akan menghasilkan 1.17 kilogram sisa setiap hari,” ujarnya.
Katanya, kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini adalah RM2 bilion setahun dan angka itu dijangka terus bertambah.
Peningkatan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada sistem pengurusan sisa yang sedia ada, tetapi juga meningkatkan risiko pencemaran alam sekitar dan kesihatan awam.
“Sebagai salah satu inisiatif dalam menyambut seruan di peringkat global, KPKT menganjurkan Program Mega Pembersihan bersempena World Clean Up Day 2024 pada hari ini.
“Inisiatif ini juga adalah seiring dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan Madani yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Program berkenaan berkonsepkan pelaksanaan gotong-royong mega secara bersepadu di seluruh negara meliputi skop pembersihan kawasan sekitar, pembersihan dan penutupan tapak sampah haram, pelaksanaan kempen kitar semula dan kesedaran penggunaan plastik sekali guna. – MalaysiaGazette