KLUANG – Para pengundi dalam kalangan orang asli bersyukur kerana urusan mereka mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dipermudahkan.
Menurut Tok Batin Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Mohd Noorsham Abdullah, 49, penduduk kampung itu dan kampung berdekatan dibawa dengan 10 buah kereta ke pusat mengundi.
Dia bersama-sama keluarga dan penduduk kampung berdekatan bersiap awal sebelum bergerak ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil.
“Saya ada empat ahli keluarga yang boleh mengundi, jadi kami berpakat keluar bersama-sama.
“Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan dan saya boleh balik awal untuk bekerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi.
Mohd Noor Sam merupakan antara 64 pengundi orang asli dari Kampung Orang Asli Tanah Runtuh.
Untuk rekod, SMK Sultan Abdul Jalil merupakan antara pusat mengundi paling ramai membabitkan 4,700 pengundi di sembilan saluran.
Sementara itu, suri rumah Radiah Shari, 32, berkata, dia serta keluarga bangun seawal pukul 6 pagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.
Dia bersama-sama beberapa penduduk kampung terbabit tiba di pusat mengundi pada pukul 7.30 pagi.
“Saya teruja kerana ini kali ketiga saya mengundi dalam tempoh dua tahun selepas PRN (pilihan raya negeri) dan pilihan raya umum (PRU) pada tahun 2022.
“Yang penting kami dapat tunaikan tanggungjawab untuk memilih calon baru. Kami tidaklah ramai malah kami satu-satunya orang asli dalam DUN Mahkota ini,” katanya.- MalaysiaGazette