Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bercakap kepada pemberita selepas Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah disiytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 28 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah yang disifatkan amat memberangsangkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota membuktikan keberhasilan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemenangan dengan majoriti besar itu tidak mungkin dapati diraih atas kerja secara bersendirian atau solo mana-mana pihak.

“Kita dapat lihat apabila kita bekerjasama dalam satu pasukan, bekerja dalam satu saf dan berganding bahu, maka keputusannya amat memberangsangkan.

“Ini bukan kerja solo tetapi kerja berpasukan dan Alhamdulilah kita berjaya buktik di sini dengan sokongan yang kita dapat hari ini,” katanya.

Calon Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah bergambar bersama ahli keluarga selepas disiytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 28 SEPTEMBER 2024

Sementara itu, Onn Hafiz yang juga Pengarah PRK BN bagi DUN Mahkota berterima kasih kepada pengundi DUN Mahkota yang telah memberi mandat kepada Syed Hussein sebagai wakil rakyat mereka.

Jelas beliau, seperti yang dijanjikan, Syed Hussein akan terus bekerja sebagai ADUN Mahkota yang baharu untuk memastikan kebajikan penduduk di kawasan itu terbela.

“Saya juga berterima kasih kepada pucuk kepimpinan UMNO khususnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakan-rakan parti komponen dalam BN dan Pakatan Harapan (PH) yang telah bekerja siang dan malam untuk memastikan kemenangan kita bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Perpaduan sebaik sahaja berakhirnya PRK DUN Mahkota itu akan kembali meneruskan tugas hakiki untuk berkhidmat kepada negeri dan negara.

Ia jelas beliau, bagi memastikan ekonomi dapat terus ditingkatkan dan kebajikan rakyat dapat terus dijaga seterusnya membawa Johor dan negara ke tahap yang lebih membanggakan.

Menerusi pengumuman rasmi SPR malam ini, Syed Hussein berjaya memenangi PRK DUN Mahkota apabila mendapat 27,995 undi berbanding calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar (7,347 undi) dengan majoriti sebanyak 20,648 undi.

Kemenangan itu menyaksikan BN mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti empat kali berbanding keputusan ketika Pilihan Raya Negeri pada 2022. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here