KLUANG – Hanya kerana lewat kira-kira seminit, seorang pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih hari ini.
Lebih malang, G. Vijayan, 41, sebenarnya sempat memasuki pekarangan pusat daerah mengundi (PDM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, di sini, namun sudah melewati pukul 6 petang ketika semakan nama dibuat untuk mengundi.
Menceritakan lebih lanjut, Vijayan berkata, dia yang bekerja sebagai posmen di Singapura bergegas pulang untuk mengundi selepas habis bekerja.
Namun, katanya, dia terperangkap dalam kesesakan yang teruk di lebuh raya dalam perjalanan akibat hujan lebat.
“Saya berasa sedih sebab memang saya mahu mengundi pada PRK ini, tapi apa boleh buat, tak ada peluang hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar PDM SMK Seri Perdana, di sini, hari ini.
Proses pengundian PRK DUN Mahkota di 20 buah PDM tamat secara rasmi tepat pukul 6 petang tadi.
Setakat pukul 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan pengundian sebanyak 47 peratus, dengan peratusan rasmi akan diumumkan SPR malam ini. – MalaysiaGazete