Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Polis sedang melakukan siasatan terhadap dakwaan tentang kewujudan pusat kuarantin kendalian Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, pusat kuarantin ini dipercayai merupakan tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli-ahli GISBH yang bermasalah.

“Dalam satu lagi perkembangan lain, PDRM juga sedang menjalankan siasatan ke atas maklumat yang dimuat naik melalui akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) yang mendakwa kononnya wujud Pusat Kuarantin GISBH di beberapa lokasi di dalam dan luar negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Razarudin berkata, pihaknya telah membuka 10 kertas siasatan membabitkan GISBH untuk disiasat di Bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, 10 kertas siasatan itu dibuka hasil laporan polis berhubung isu buruh paksa yang diterima daripada beberapa individu yang pernah bekerja dengan syarikat GISBH.

Selain itu, menurut Razarudin, polis giat mengesan aset-aset yang dikaitkan atau dimiliki oleh GISBH bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here