KLUANG – Tiga pengundi muda berkongsi rasa teruja menjadi pengundi pertama kali dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pagi ini.
Malah, mereka juga menjadi antara pengundi terawal yang tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini iaitu kira-kira pukul 8 pagi sebaik sahaja pusat mengundi itu dibuka.
Bagi Muhammad Zakwan Danial, 18, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi hari ini bagi merasai sendiri pengalaman menjalani prosed demokrasi tersebut.
Kata yang merupakan penuntut jurusan teknologi maklumat (IT) di sebuah kolej, walaupun agak gemuruh kerana merupakan pertama kali mengundi, namun dia berasa lega kerana proses itu berlangsung dengan mudah.
“Ibu bapa saya juga menggalakkan saya mengundi, jadi saya datang awal hari ini,” katanya yang tinggal di Kampung Palembang, dekat sini.
Sementara itu, keterujaan sama turut dikongsi seorang lagi pengundi pertama kali, Soh Shan Meng, 22, yang turut memilih untuk datang mengundi awal pagi ini.
Katanya, dia juga tidak mahu melepaskan peluang bersama-sama majoriti penduduk DUN Mahkota memilih wakil rakyat yang diyakini dapat memberikan khidmat terbaik buat mereka.
“Perasaan memang gemuruh sebab pertama kali, tetapi sekarang sudah lega sebab semuanya sudah selesai,” katanya.
Turut tiba awal bagi mengundi di pusat mengundi SMK Seri Perdana di sini, ialah seorang lagi pengundi pertama kali, M. Cholavarma, 22.
Dia yang juga seorang doktor perubatan di sebuah hospital awam di sini turut memastikan undinya dapat menjadi suara yang mewakili majoriti penduduk di DUN Mahkota dalam memilih pemimpin mereka. – MalaysiaGazette