Orang ramai dilihat beratur sejak jam 7.30 pagi sementara menunggu pusat pengundian dibuka untuk proses mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana hari ini. Foto SADIQ SANI, 28 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Proses pengundian pemilih biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bermula secara rasmi hari ini apabila sebanyak 20 pusat daerah mengundi (PDM) dibuka secara serentak bermula pukul 8 pagi ini.

Seramai 61,274 pemilih biasa akan menjalankan tanggungjawab mereka mengundi di 109 saluran di kesemua PDM tersebut sehingga proses pengundian tamat tepat pukul 6 petang nanti.

Terdahulu, pada Selasa lalu, sebanyak 95.45 peratus daripada keseluruhan 4,437 pengundi dalam kalangan anggota tentera dan pasangan serta polis selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi PRK berkenaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengeluarkan sebanyak 607 undi pos yang mana setakat pukul 3 petang semalam, sebanyak 576 daripadanya atau 94.89 peratus sudah dipulangkan semula kepada SPR.

Bagi melancarkan proses pengundian hari ini juga, SPR telah melantik seramai 1,126 petugas, dibantu seramai 1,399 pegawai dan anggota polis yang ditempatkan di kesemua 20 PDM.

Orang ramai dilihat beratur sejak jam 7.30 pagi sementara menunggu pusat pengundian dibuka untuk proses mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana hari ini. Foto SADIQ SANI, 28 SEPTEMBER 2024

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang pagi ini adalah baik, namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang.

Sehubungan itu, pengundi DUN Mahkota dinasihatkan untuk keluar mengundi lebih awal bagi mengelakkan berdepan kesulitan pada sebelah petang.

Selepas tamat pengundian, proses penjumlahan undi akan dibuat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini dengan keputusan rasmi dijangka diketahui sekitar pukul 10 malam.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah, 40, menentang calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, 61, dengan kedua-duanya merupakan pengundi pada PRK itu.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat membawa peti undi sempena hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana hari ini. Foto SADIQ SANI, 28 SEPTEMBER 2024

Syed Hussien akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, manakala Mohamad Haizan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.

Dari segi komposisi kaum, DUN Mahkota terdiri 56 peratus pengundi Melayu; Cina (34 peratus); India, (lapan peratus dan dua peratus lain-lain.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu, akibat pendarahan dalaman.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Allahyarham Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang memperoleh 11,445 undi; calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan (7,614 undi) dan calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman (555 undi).

Petugas SPR membawa peti undi menjelang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana hari ini. Foto SADIQ SANI, 28 SEPTEMBER 2024

Pada PRN 2022, peratus keluar mengundi yang direkodkan hanya sekitar 57.3 peratus melibatkan seramai 37,316 pemilih.

Ini merupakan kali kelima pilihan raya berlangsung di DUN Mahkota dengan empat daripadanya dimenangi BN.

BN kehilangan kerusi DUN Mahkota itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila calonnya ketika itu, Datuk Jais Sarday tewas kepada calon Amanah yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit dalam persaingan tiga penjuru dengan seorang lagi calon Pas, Hasbullah Najib.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here