KLUANG – Polis berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota setakat ini, yang berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, berdasarkan tinjauan beliau di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) setakat pukul 10 pagi ini, proses pengundian juga berjalan lancar dan terkawal.
“Saya turut memantau dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi tadi dan semuanya berjalan lancar termasuk tiada kesesakan lalu lintas.
“Saya berharap keadaan ini berterusan sehingga tamat pengundian pukul 6 petang nanti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Kumar turut menggesa pengundi yang belum melaksanakan tanggungjawab memilih untuk segera berbuat demikian memandangkan cuaca pada sebelah petang diramal hujan.
Seramai 61,274 pemilih biasa PRK DUN Mahkota akan menjalankan tanggungjawab mereka mengundi hari ini sehingga pukul 6 petang nanti membabitkan 109 saluran di sebanyak 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM). – MalaysiaGazette