KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahaan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam peringkat akhir menyiapkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memperkenal hukuman khidmat sosial terhadap orang ramai yang didapati bersalah kerana membuang sampah sebarangan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, RUU itu akan di bawa ke Pejabat Peguam Negara bulan depan untuk diteliti sebelum dibentang ke Parlimen.
Menurutnya, sudah tiba masa negara mengambil serius langkah menangani isu pembuangan sampah dengan segera kerana ia sudah lama membarah dalam kalangan rakyat.
“Kita lakukan semua ini sebab nak pastikan masyarakat peka terhadap aspek kebersihan yang mencerminkan identiti perlu dijaga.
“”Sekarang ini zaman media sosial, sekiranya kita tidak menjaga kebersihan maka pelancong datang dan dia buat TikTok, maka nama negara kita yang terjejas…ia (undang-undang) telah diperkenal dan berjaya dilaksana selama bertahun-tahun di kebanyakan negara maju.
“Justeru, adalah amat penting untuk kita memberikan gambaran serta imej yang baik tentang negara kita yang tercinta kepada mereka,” katanya.
Kor Ming berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Clean Up Day 2024, di Pasar Seni, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.
Terdahulu, Kor Ming ketika berucap pada program itu mengulangi komitmen, individu yang masih degil membuang sampah merata-rata akan dikenakan hukuman khidmat sosial.
Tegasnya, hukuman itu akan diperkenalkan dalam undang-undang baharu yang sedang digubal kementerian.
“Mulai tahun depan selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan di Parlimen, siapa-siapa buang sampah dengan mengulangi kesalahan, akan dijemput untuk sapu jalan, cuci longkang, cuci tandas sebagai khidmat sosial.
“Apabila ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SPRM bagi t-shirt oren, bila tahun depan buang sampah, KPKT akan bagi t-shirt istimewa, tetapi bukan masuk longkap tapi akan jemput dia sama-sana turut bantu pekerja (pembersihan).
“Pasukan TikTok KPKT akan buat publisiti percuma untuk ulat-ulat sampah,” katanya.
Justeru, beliau berharap, Hari Cuci Malaysia dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat dan komuniti di setiap peringkat mengenai kepentingan dan tanggungjawab terhadap kebersihan awam demi kesejahteraan dan kesihatan semua.
Katanya, ini kerana kebersihan awam adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak.
“Ini termasuklah membuang sampah dengan betul di tempat yang ditetapkan, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, mengamalkan aktiviti kitar semula, menyertai aktiviti gotong-royong dan bermacam-macam lagi,” tambahnya.
Hari Cuci Malaysia anjuran bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut mendapat kerjasama strategik daripada Perbadanan PR1MA Malaysia dan Malakoff Corporation Berhad menerusi Alam Flora Sdn.Bhd.
Program gotong-royong dan pembersihan mega ini telah dilaksanakan di 649 lokasi seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat penganjuran termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, kementerian-kementerian, sekolah, balai bomba, Residensi PR1MA, Program Perumahan Rakyat (PPR), taman-taman awam, kawasan kejiranan, dan pertubuhan bukan kerajaan.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pembersihan sampah haram, ploging, pembersihan jalan, pembersihan longkang dan pengurusan sisa ke arah ekonomi kitaran. – MalaysiaGazette