KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussein Syed Abdullah selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pagi ini.
Syed Hussein tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana, di sini, kira-kira pukul 8.50 pagi sebelum selesai menjalani proses mengundi kira-kira 20 minit kemudian.
Bercakap kepada pemberita selepas selesai mengundi, Syed Hussein berkata, beliau bersyukur kerana proses pengundian hari ini berjalan lancar dan berharap situasi tersebut kekal sehingga tamat mengundi pukul 6 petang nanti.
Beliau juga terharu melihat rakyat pelbagai kaum dan agama turun beramai-ramai sejak awal pagi untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Ini jelas menunjukkan semangat kebersamaan yang kuat dalam kalangan masyarakat Kluang termasuk semangat untuk menentukan masa depan di DUN Mahkota,” katanya.
Sementara itu, Syed Hussein turut menggesa semua pengundi DUN Mahkota keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih pada PRK itu.
“Masa masih panjang sebelum pusat mengundi ditutup pukul 6 petang ini dan kita sama-sama turun untuk menunjukkan kepada negara bahawa penduduk DUN Mahkota sudah bersedia untuk menentukan masa depan kita semua,” katanya.
Dalam PRK DUN Mahkota ini, Syed Hussein akan menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar dalam pertembungan satu lawan satu.
Seramai 61,274 pemilih biasa PRK DUN Mahkota akan menjalankan tanggungjawab mereka mengundi membabitkan 109 saluran di sebanyak 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sehingga proses pengundian tamat tepat pukul 6 petang nanti. – MalaysiaGazette