Wajah-wajah ceria pelajar baharu UMS.

KOTA KINABALU – Seramai 4,545 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan sesi 2024/2025 yang mula mendaftar pada 28 hingga 29 September 2024.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor, jumlah tersebut melibatkan 3,640 pelajar di UMS Kampus Kota Kinabalu, 701 pelajar di UMS Kampus
Antarabangsa Labuan, dan 204 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.

Jumlah ini merangkumi 3,286 (72.3%) pelajar dari Sabah, 718 (15.8%) dari Semenanjung Malaysia, 470 (10.3%) dari Sarawak, dan 56 (1.2%) dari Labuan.

Seramai 15 pelajar selebihnya merupakan pelajar antarabangsa dari lima buah negara, iaitu China, Jepun, Brunei, Pakistan dan Indonesia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan pendaftaran pelajar di sini, hari ini.

Kasim turut memaklumkan, berdasarkan statistik tersebut, sejumlah 1,468 orang atau 32 peratus adalah pelajar lelaki, manakala 3,077 orang atau 68 peratus
merupakan pelajar perempuan.

“Pengambilan pelajar pada sesi ini turut merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu sebanyak 2,579 bagi pelajar B40 ambilan UPUonline, 9 pelajar Orang
Kurang Upaya (OKU), 11 atlet sukan, dan 2 orang asli.

“Kesemua pelajar baharu akan mengikuti program Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 6 Oktober ini sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dalam suasana kehidupan kampus,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim ketika melakukan tinjauan di kolej-kolej kediaman memaklumkan, kemudahan-kemudahan yang terdapat di kolej kediaman termasuk bekalan air pada tahap yang baik dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar pada sesi pengajian ini.

“Pentadbiran universiti juga telah menetapkan masa-masa tertentu yang berbeza bagi urusan pendaftaran antara pelajar baharu sebagai usaha untuk mengelakkan
kesesakan pada hari pendaftaran.

“Justeru, dapat dilihat suasana dan proses pendaftaran pada hari ini begitu teratur hasil penambahbaikan yang dilakukan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here