Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas berkerugian RM670,000 apabila kehilangan barang kemas wang simpanan dan jongkong emas selepas terpedaya dalam sindiket scam telefon, baru-baru ini.

Wanita berusia 72 tahun itu terpedaya dengan ‘polis’ yang mendakwanya terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penipuan itu berlaku selepas pesara wanita itu
dihubungi oleh individu yang kononnya dari unit khidmat pelanggan, Putrajaya.

“Suspek mendakwa nombor telefon mangsa telah disalahgunakan dalam kes jenayah siber dan mangsa perlu memohon perlindungan data peribadi serta perlindungan dana.

“Panggilan kemudian disambungkan kepada pihak ‘polis’ yang seterusnya memaklumkan mangsa turut terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan bagi tujuan siasatan mangsa diarah mengumpulkan semua wang simpanannya ke satu akaun bank milik mangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa kemudian memberikan maklumat akan bank kepada pihak ‘polis’ kerana ketakutan.

“Siasatan polis mendapati mangsa diarah sindiket supaya menyerahkan semua barang kemas dan jongkong emas kepada individu yang datang mengambil barangan tersebut di rumah mangsa. Keseluruhan kerugian mangsa dianggarkan RM670,994.

“Kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” tambahnya.

Ramli berkata, sepanjang tiga tahun terakhir iaitu bermula 2021 hingga 2023, sejumlah 86,266 individu telah dilaporkan menjadi mangsa kepada jenayah penipuan dalam talian manakala daripada jumlah terbabit seramai 5,533 mangsa atau 6.4 peratus adalah dalam kalangan individu berumur 61 tahun ke atas iaitu golongan warga emas.

Angka yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini yang mana daripada 21,535 kes penipuan dalam talian yang direkodkan sehingga sejak Januari hingga Ogos 2024, seramai 1,916 mangsa atau 8.9 peratus merupakan warga emas.

Sepanjang tempoh itu, jumlah kerugian keseluruhan adalah sebanyak RM2,768,396,952.40.

Daripada jumlah itu, kerugian dalam kalangan mangsa warga emas adalah RM552,512,422.66 atau bersamaan 20 peratus.

Bagi tahun ini sehingga Ogos lalu, kerugian melibatkan mangsa warga emas telah mencecah RM255,367,680.39 atau bersamaan 27.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM914,051,236.30.

“PDRM memohon agar ahli keluarga dapat menasihati ibubapa, saudara, atau kenalan yang terdiri daripada warga emas khususnya agar sentiasa berwaspada dan tidak melayan atau mempercayai sebarang panggilan mencurigakan daripada mana-mana agensi kerajaan atau swasta,” kata Ramli.

Menurutnya, tindakan mempercayai serta menuruti semua arahan yang diperolehi melalui panggilan telefon tidak dikenali itu hanya akan meletakkan mangsa dalam risiko disamun atau dirompak apabila mereka mendedahkan alamat serta lokasi kediaman kepada penjenayah.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here