Joe Biden - FOTO AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menyokong penuh kempen pengeboman Israel ke atas Hezbollah di Lubnan, termasuk serangan yang membunuh pemimpin kumpulan itu, namun turut menyatakan bahawa tiba masanya untuk menjalankan gencatan senjata.

Presiden AS, Joe Biden menyifatkan pembunuhan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, sebagai ‘satu tindakan keadilan’ bagi ramai mangsanya, termasuk ribuan warga Amerika, Israel, dan orang awam Lubnan.

“AS menyokong hak Israel untuk melindungi diri mereka daripada ancaman Hezbollah, Hamas, Huthis, dan mana-mana kumpulan pengganas yang disokong Iran,” katanya dalam satu kenyataan selepas serangan udara Israel di kawan pinggir selatan Beirut.

Serangan itu juga telah turut mengorbankan nyawa pemimpin Hezbollah.

“Kitaran keganasan ini mesti dihentikan sekarang, dan semua pihak perlu mundur dari tepi jurang. Rakyat Lubnan, rakyat Israel, serta rantau yang lebih luas, tidak mampu menghadapi perang besar-besaran.

“Matlamat kami adalah untuk mengurangkan konflik di Gaza dan Lubnan dengan pendekatan secara diplomatik,” katanya.

Cadangan gencatan senjata di Gaza serta rundingan untuk membenarkan kepulangan penduduk dengan selamat ke Israel dan selatan Lubnan perlu dikuatkuasakan.

“Sudah tiba masanya untuk urusan ini diselesaikan, ancaman kepada Israel dihapuskan, dan rantau Timur Tengah yang lebih luas memperoleh kestabilan yang lebih besar,” tambahnya. 

‘Bersedia untuk melindungi Amerika’

Sementara itu, Washington sedang mengkaji kekuatan tenteranya di rantau itu.

Biden telah mengarahkan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin untuk mempertingkatkan lagi kedudukan pertahanan pasukan tentera AS di rantau Timur Tengah supaya dapat menghalang pencerobohan dan mengurangkan risiko perang serantau yang lebih besar.

Austin bercakap dua kali dengan rakan sejawatannya dari Israel, Yoav Gallant, pada hari Jumaat, menekankan bahawa AS bertekad untuk menghalang Iran serta rakan kongsi dan proksi yang disokongnya untuk mengeksploitasi situasi atau memperluaskan konflik.

“Setiausaha itu menjelaskan bahawa Amerika Syarikat tetap bersedia untuk melindungi pasukan dan kemudahan AS di rantau ini serta komited terhadap pertahanan Israel,” kata seorang jurucakap Pentagon.

Semalam, jabatan negara itu turut mengarahkan ahli keluarga diplomatnya di Beirut untuk meninggalkan Lubnan,dan beberapa kakitangan telah dibenarkan untuk berlepas kerana keadaan keselamatan yang tidak stabil dan sukar diramal di Beirut.

Agensi itu juga menggesa warga AS untuk meninggalkan Lubnan selagi pilihan penerbangan komersial masih tersedia.

Pegawai tentera di Israel semalam mengumumkan bahawa Hassan Nasrallah, yang memimpin Hezbollah selama lebih tiga dekad, terbunuh dalam serangan yang menyasarkan ibu pejabat kumpulan itu di kawasan pinggir selatan Beirut lewat hari Jumaat.

Hezbollah mengesahkan kematian pemimpinnya beberapa jam kemudian. – AFP 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast