Logo Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 29 MEI 2023.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ekstasi seberat 2.9 kilogram bernilai RM1.3 juta di Jalan Parit Perpat Laut, Rengit, Batu Pahat bulan lalu.

Pengarah JKDM Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, kejayaan tersebut adalah hasil risikan Pasukan Peninjau Marin Sungai Pulai, JKDM Johor dalam operasi pukul 2 petang, 10 Ogos lalu.

Menurut beliau, pihaknya terdahulu menjumpai beg beroda yang disembunyikan di bawah satu kotak gabus sebelum pemeriksaan dibuat.

“Hasil pemeriksaan kita menjumpai bungkusan hitam mengandungi plastik yang tertera tulisan teh cina, alat acuan dan ‘vacuum sealer’ serta 14 paket kecil berisi pil dan serbuk disyaki dadah.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan laluan tikus untuk menyeludup dadah keluar atau masuk ke negara ini sebelum diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here