Arvind ketika ceramah kelompok pada kempen PRK Mahkota baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menyaksikan trend pengundi India yang berbeza – mereka tidak lagi acuh tak acuh dalam siri-siri kempen.

Sebaliknya, PRK DUN Mahkota menyaksikan ramai belia India berada dan mengambil bahagian dalam soal jawab dalam ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh MIC dan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan.

“Banyak sangat kemajuan yang dapat dilihat. Ramai (mayarakat India) hadir untuk dengar apa yang hendak kita kata, bukan hanya datang dengar janji kosong atau ‘goodies’. Sebaliknya mereka tahu hak mereka, banyak persoalan serta isu ditimbulkan oleh mereka.

“Rata-rata mereka juga menerima dengan baik perjuangan MIC. Mereka akui komponen BN bukan muncul seperti cendawan tumbuh tetapi berjuang sehinggalah negara mengalami fasa pembangunan moden pada hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Komuniti India yang hadir dalam ceramah semasa kempen PRK DUN Mahkota.

Arvind yakin kemenangan berpihak kepada calon Syed Hussein Syed Abdullah, calon BN kerana rakyat celik dengan jasa-jasa BN kepada masyarakat India sejak berdekad-dekad lamanya.

Pada pandangannya, kemenangan ini turut membuktikan betapa rakyat mendambakan BN dalam aspek kebajikan pengundi India di negara ini.

“Pemuda MIC yang menyantuni golongan muda komuniti India berpeluang dengar sendiri suara mereka, apa yang mereka mahukan. Mereka mahu jaminan masa depan dan isu-isu politiking dikurangkan.

“Pengundi India yang selama ini cuba menjauhkan diri daripada MIC dan BN kini lebih positif dengan kehadiran kita, kepimpinan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalannya, Datuk Seri M Saravanan dalam mengemudi parti MIC kembali pada asas perjuangan memberikan kelegaan kepada masyarakat India hari ini,” katanya lagi.

Semalam mempertahankan kerusi DUN Mahkota apabila calonnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, dengan majoriti 20,648 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast