Pakar kardiologi, Prof Dr Chin Sze Piaw (tengah) dalam sidang media di Wisma MCA, hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pakar kardiologi, Prof Dr Chin Sze Piaw kesal kerana identiti beliau telah dicuri pihak tidak bertanggung jawab bagi tujuan mempromosikan suplemen herba di sebuah laman sesawang.

Doktor pakar yang telah berkhidmat selama 30 tahun itu percaya laman sesawang tersebut mensasarkan pembaca Melayu kerana artikel palsu yang mengaitkan beliau ditulis dalam Bahasa Melayu.

Katanya, kejadian tersebut disedari oleh rakan beliau yang juga seorang pakar perubatan selepas terdapat pesakit membaca artikel palsu berkenaan dan meminta pendapatnya.

Tambah Dr Sze Piaw, beliau sangat bimbang mengenai implikasi terhadap orang ramai terutamanya pesakit kronik selepas membaca artikel palsu terbabit.

“Mereka turut menerbitkan artikel temu bual palsu dan mendakwa saya mengesyorkan pesakit supaya berhenti mengambil ubat doktor dan menggunakan produk mereka.

“Pesakit darah tinggi tidak sepatutnya berhenti mengambil ubat preskripsi doktor tanpa sebab kerana ia boleh menyelamatkan nyawa serta mencegah kegagalan buah pinggang dan masalah jantung.

“Selain itu, mereka juga membuat dakwaan palsu mengenai kematian seorang pelakon Hollywood yang berpunca daripada ubat preskripsi.

“Oleh sebab itu, saya bimbang kerana nyawa pesakit boleh terancam jika hanya bergantung kepada suplemen herba itu,” katanya dalam sidang media di Wisma MCA, hari ini.

Menurut Dr Sze Piaw, tindakan penjual suplemen herba itu sangat tidak bertanggung jawab kerana menggunakan imej dan nama pakar kardiologi demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada pengguna.

Susulan itu, beliau membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebaik sahaja dimaklumkan oleh rakannya mengenai artikel palsu tersebut, 25 September lalu.

Sementara itu, peguam Datuk Joy W Appukuttan berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang yang sesuai dan buat masa ini fokus utama mereka adalah untuk memastikan laman sesawang itu ditutup bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here