KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan dalam kejadian di Kilometer 48.7 Lebuhraya Cyberjaya (Dengkil) ke Puchong, di Selangor pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superitendan G.Shan Gopal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan sebuah kereta, lori dan motosikal sekitar jam 9.00 pagi tadi.

“Hasil siasatan mendapati, sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki 20 tahun berada di lorong kiri menghala ke arah Cyberjaya/Puchong secara tiba – tiba telah membelok ke kiri dan masuk ke laluan susur keluar dari arah stesen minyak Caltex.

“Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha dipandu lelaki berusia 27 tahun sedang bergerak keluar dari stesen minyak terbabit telah cuba mengelak lori tersebut.

“Namun disebabkan jarak yang dekat, motosikal terbabit telah terlanggar bucu belakang sisi kiri lori itu hingga terbabas di lorong kanan laluan utama lebuh raya terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Foto PDRM

Tambah beliau, kemudian datang sebuah kereta jenis Perodua Axia di lorong kanan tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa yang jatuh di atas jalan.

Katanya lagi, akibat kejadian itu mangsa mengalami cedera ringan dengan luka di tangan dan kepala.

“Pemandu lori terbabit tidak melarikan seperti yang ditularkan sebaliknya beredar kerana bimbang akan keselamatan dirinya.

“Bagaimanapun, lori terbabit telah dirampas dan polis juga telah menghubungi majikannya serta sudah mengambil keterangan pemandu terbabit,” jelasnya.

Katanya lagi, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu sedang dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau juga meminta orang ramai yanv mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here