Wartawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Zeteo, Mehdi Hasan berucap pada Sesi minum petang sempena National Human Capital Conferencen & Exhibition (NHCCE) di Kompleks MITEC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Wartawan, penulis buku dan pengacara terkenal British-Amerika, Mehdi Raza Hasan yang hadir sebagai salah seorang penceramah di pentas National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE 2024) difahamkan akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Secara umumnya, Mehdi popular menerusi rancangan The Mehdi Hasan Show di MSNBC kerana sentiasa menemuramah tokoh-tokoh tersohor dunia, dijadual untuk menemuramah Anwar petang ini.

Antara nama-nama tersohor yang pernah ditemuramah Mehdi termasuklah Noam Chomsky, Bernie Sanders, Alexandria Ocasio-Cortez, John Legend, Mark Raffalo, Jon Stewart serta ramai lagi.

Beliau yang juga  penulis buku paling laris New York Times bertajuk ‘Win Every Argument’ kini memiliki organisasi medianya sendiri dikenali sebagai Zeteo.

Ketika bercakap dalam program Tea With Mehdi yang turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk  Shahul Dawood serta hadirin lain, Mehdi berkata,  beliau sangat teruja untuk bertemu Anwar.

“Banyak yang akan saya kongsikan dengan para hadirin NHCCE, kita juga boleh bertukar pandangan  dalam sesi soal jawab yang pada saya sangat menarik. Saya teruja,” katanya.

Mehdi akan berkongsi pengalaman, idea serta cabaran berkaitan kecerdasan buatan (AI) di tempat kerja dan implikasinya bersama orang ramai di NHCCE yang akan bermula esok sehingga 2 Oktober ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

NHCCE yang bertemakan ‘Menginsankan Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Tenaga Kerja Masa Depan’ telah dijadikan sebagai salah satu acara terbesar di Malaysia bakal menghimpunkan minda terbaik berhubung pembangunan modal insan, di peringkat antarabangsa mahupun domestik.

Acara tahunan perdana oleh HRD Corp, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu telah mencipta kejayaan besar tahun lalu, setelah menarik lebih 4,000 perwakilan dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Persidangan NHCCE 2024 pada kali ini akan mengetengahkan lebih 200 pempamer terkemuka yang mempamerkan trend terkini dalam pembangunan kemahiran, teknologi inovatif, selain platform untuk kesejahteraan diri pada masa depan kelak. -MalaysiaGazette

NHCCE 2024 tampilkan pakar profesional dalam bidang modal insan

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here